Dua nelayan warga Indonesia diculik di perairan Merabung

Bernama
November 20, 2016 03:38 MYT
Gambar fail kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia mengawal perairan di timur Sabah.
Dua nelayan warga Indonesia diculik di perairan Merabung dekat sini, semalam.
Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk DCP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata juragan, 43, dan pembantunya berusia 36 tahun itu diculik kira-kira 7.30 malam.
"Pada kira-kira 6.30 petang, juragan dan pembantunya itu bersama 11 awak-awak memberhentikan bot mereka di kawasan itu untuk menangkap ikan dan mereka kemudian didatangi sekumpulan lelaki bersenjata yang naik ke atas bot.
"Kumpulan ini telah mengambil kesemua telefon bimbit milik kru kapal dan turut menyamun enjin bot," katanya kepada Bernama.
Wan Abdul Bari berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira 30 minit kemudian kerana radio bot berkenaan rosak.
"Sebelas awak-awak yang selamat mendapatkan bantuan daripada bot nelayan lain dan menghubungi pihak keselamatan menerusi radio mereka," katanya lagi.
Beliau berkata kru yang selamat dan bot nelayan itu berlabuh di jeti kira-kira 3 pagi tadi.
"Siasatan masih dijalankan berhubung kejadian culik tersebut," katanya lagi.
Wan Abdul Bari berkata, kumpulan senjata yang mendalangi kejadian itu bertindak bergerak ke sempadan antarabangsa.
Pada 5 Nov lalu, dua tekong kapal nelayan diculik di perairan Kertam, Kinabatangan, Sandakan. -- Bernama
#ESSCom #Merabung #nelayan diculik #wan abdul bari