Dua nelayan Vietnam selamat selepas terapung dua hari di laut

Bernama
September 25, 2018 05:58 MYT
Kapten Kapal Pelican Calm, Edy Bachtiar H. Silitonga (dua, kiri) berbual bersama nelayan Vietnam, Nguyien Vam Le (dua, kanan) dan Do Klen Luong (kanan) yang diselamatkan dan diserahkan kepada APMM Kuala Terengganu, 25 Sept, 2018. --fotoBERNAMA
Dua nelayan warga Vietnam yang dipercayai terapung lebih dua hari di laut berjaya diselamatkan di satu lokasi kira-kira 45 batu nautika dari sini, pada Selasa.
Jurucakap Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Terengganu berkata nelayan dikenali sebagai Nguyien Vam Le, 18, dan rakannya, Do Klen Luong, 22, itu dipercayai melarikan diri dari kapal mereka kerana tidak tahan lagi bekerja selepas 15 hari berada di lautan.
"Buat masa ini mereka akan dirujuk kepada kedutaan Vietnam bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai alamat dan waris serta keluarga yang terdekat untuk dihubungi bagi memaklumkan mengenai keadaan mereka berdua," katanya kepada Bernama.
Katanya, kedua-dua nelayan terbabit juga tidak ditahan kerana tidak melakukan sebarang jenayah ketika ditemui.
Dalam pada itu, Kapten bot 'Pelican Calm' Edy Bachtiar H. Silitonga, 35, seorang warga Indonesia berkata kru bot itu melihat dua lelaki terapung di laut tanpa jaket keselamatan dan pelampung serta melambai-lambai dan menjerit meminta tolong.
Katanya, kedua-dua mangsa berada dalam keadaan keletihan, lesu, kelaparan dan pucat ekoran berada di lautan lebih daripada dua hari.
Kedua-dua mangsa katanya diberi makanan dan minuman serta pakaian sebelum diserahkan kepada pihak APMM untuk tindakan lanjut sebaik sahaja tiba di jeti Pulau Duyong.
-- BERNAMA
#Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia #APMM #bot #Indonesia #jenayah #kapal #kapten #kedutaan #lari #laut #mangsa #maritim #nelayan #selamat #terapung #terengganu #Vietnam
;