Dua nelayan tidak pulang, dikhuatiri hilang di laut

Dewi Nur Harasha Alias
Februari 2, 2019 00:49 MYT
Pada kebiasaannya mangsa menangkap ikan di sekitar Utara perairan negeri ini dan akan pulang semula ke pangkalan pada pada jam 11 malam hari yang sama.
Dua nelayan dikhuatiri hilang di perairan Kuala Muda selepas mereka dikatakan tidak pulang dari menangkap ikan sejak Jumaat lalu.
Yashir Abd Hamid bersama awak-awak warga tempatan dikatakan keluar dari Jeti Pangkalan Kuala Muda kira-kira jam 4 petang hari tersebut.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang, Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, kehilangan kedua-dua nelayan tersebut dimaklumkan seorang wakil dari Persatuan Nelayan Kuala Muda, Rosli Arifin.
Jelas beliau, pada kebiasaannya mangsa menangkap ikan di sekitar Utara perairan negeri ini dan akan pulang semula ke pangkalan pada pada jam 11 malam hari yang sama.
Namun sehingga kini kedua-dua mangsa tidak pulang.
Susulan itu, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejurus aduan diterima.
Selain APMM, pasukan Polis Marin Batu Uban dan bot-bot nelayan setempat turut terlibat membantu mencari mangsa.
Hamizan berkata, orang awam diminta agar melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut menerusi talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim negeri di talian 04-2626146.
#Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia #APMM #Jeti Pangkalan Kuala Muda #kuala muda #nelayan #Polis Marin Batu Uban #Rosli Arifin #warga tempatan #Yashir Abd Hamid
;