Dua nelayan Sekinchan dibebas dan dibawa pulang esok - Ahmad Zahid
Bernama
Jun 14, 2016 23:39 MYT
Jun 14, 2016 23:39 MYT
Dua nelayan di Sekinchan yang ditahan pihak berkuasa Indonesia kerana dipercayai menceroboh perairan negara itu, akan dibebaskan dan dibawa pulang esok.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ia berikutan Presiden Indonesia Joko Widodo atau Jokowi telah menandatangani surat pengampunan terhadap nelayan berkenaan, Chua Lee Teck dan Heng Chee Yong.
Beliau berkata kedua-dua nelayan berkenaan kini ditahan di Tanjung Balai, Indonesia.
"Oleh kerana mahkamah Indonesia telah menjatuhkan hukuman, dan tempoh rayuan telah tamat, usaha telah dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan menghubungi Presiden Jokowi.
"Saya juga telah menghubungi Naib Presiden Indonesia Muhammad Jusuf Kalla dan mengarahkan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) Datuk Seri Shahidan Kassim ke Indonesia," katanya ketika mengumumkan berita baik itu pada majlis makan malam sempena Hari Ibu Bapa di Sekinchan di sini, malam ini.
Turut hadir, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Tan Sri Noh Omar dan calon BN bagi Pilihan Raya Kecil kawasan Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi.
Ahmad Zahid berkata kerajaan sebelum ini, berjanji untuk berusaha membebaskan nelayan berkenaan, dan berjaya mengotakan janji tersebut.
"Kerajaan buat ini untuk siapa?...untuk penduduk Sungai Besar dan nelayan yang ada di Sekinchan, kerajaan telah tolong semua," katanya.
Kementerian Luar sebelum ini, mengesahkan tiga bot nelayan Malaysia iaitu SLFA 4625, PKFB 1512 dan KHF 1917, ditahan pihak berkuasa Indonesia.
Berdasarkan maklumat pihak berkuasa Malaysia dan Persatuan Kebajikan Nelayan dan Peniaga-Peniaga Ikan Sekinchan, tangkapan itu dilakukan di perairan Malaysia serta tidak konsisten dengan persefahaman sedia ada antara kedua-dua negara berhubung isu berkaitan perikanan.
Sementara itu, isteri kepada Chee Yong, Nguyen Thi Nhung, 29, berterima kasih kepada kerajaan kerana membantu suaminya.
"Saya sudah dua bulan tidak berjumpa dengannya, dan tidak sabar menunggu esok," katanya yang berasal dari Vietnam.
#Ahmad Zahid Hamidi
#ceroboh perairan
#Indonesia
#nelayan bebas
#nelayan dibebaskan
#Presiden Joko Widodo
#Sekinchan