Dua nelayan hilang dekat Pulau Undan ditemukan selamat di Dumai
Bernama
Januari 22, 2025 12:17 MYT
Januari 22, 2025 12:17 MYT
MELAKA: Dua nelayan yang dilaporkan hilang ketika keluar memukat di perairan Pulau Undan di sini 15 Jan lepas ditemukan selamat di Dumai, Indonesia.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan Kepten Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata mangsa, Muarep Sakem, 63, dan Rosenizam Maharam, 55, diselamatkan oleh nelayan negara itu.
"Kedua-dua mangsa ditemukan dalam keadaan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan serius selepas bot mereka hanyut akibat cuaca buruk dan mengalami kerosakan enjin.
"Mereka kini berada di Dumai dan kami sedang bekerjasama dengan pihak Konsulat Malaysia di sana bagi menguruskan proses penghantaran pulang dua nelayan berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu Mohd Khairi turut mengingatkan nelayan dan orang awam supaya lebih berhati-hati dengan perubahan cuaca serta memastikan bot berada dalam keadaan baik dan dilengkapi peralatan keselamatan sebelum keluar ke laut.
Beliau berkata sebarang maklumat berkaitan kecemasan atau aktiviti mencurigakan di laut, boleh dilaporkan kepada Pusat Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan menerusi talian 06-3876730 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam.
Dalam pada itu, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman menerusi hantaran di laman Facebook berkata pihaknya akan membantu mempermudah segala urusan untuk membawa pulang kedua-dua nelayan itu.
"Syukur Alhamdulillah, berkat doa dan usaha semua, dua nelayan dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas yang hilang sebelum ini telah ditemukan selamat.
"Saya telah menerima panggilan video dan bercakap sendiri dengan Muarep serta Rosenizam dan usaha membawa pulang sedang diuruskan oleh pihak Imigresen di sana. Kedua-duanya akan diambil keluarga mereka di Dumai," katanya.
-- BERNAMA