Dua nelayan hilang bot hanyut di perairan Kerachut
Bernama
Disember 18, 2024 23:45 MYT
Disember 18, 2024 23:45 MYT
BALIK PULAU: Dua nelayan hilang selepas bot dinaiki mereka dipercayai hanyut di perairan Kerachut, Kuala Sungai Pinang di sini, Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Sazalee Adam berkata kejadian berlaku kira-kira 7.30 malam dan mangsa dikatakan sempat menghubungi rakan mereka memaklumkan bot dinaiki mengalami kerosakan enjin.
"Rakan mangsa yang baru selesai menangkap ikan di kawasan lain datang ke lokasi itu kira-kira 8.30 malam untuk cuba membantu, namun kedua-dua nelayan berkenaan didapati telah tiada di lokasi mereka dilaporkan berada.
"Operasi mencari dan menyelamat telah dimulakan sejak 12 tengah malam Selasa membabitkan Angkatan Pertahanan Awam, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, pasukan polis marin selain dibantu bot Persatuan Nelayan Kuala Sungai Pinang," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata berdasarkan maklumat awal, kedua-dua mangsa berusia 22 dan 25 tahun itu tidak berdaftar dengan persatuan nelayan kawasan dan dipercayai bergerak sendiri melakukan aktiviti berkenaan.
Sazalee berkata kehilangan kedua-dua nelayan telah dilaporkan oleh ahli keluarga seorang daripada mangsa kira-kira 6 petang semalam.
Ketika kejadian, katanya kedua-duanya dikatakan menaiki bot berwarna merah dan biru yang tidak mempunyai nombor pendaftaran.
-- BERNAMA