Dua nelayan cedera bot meletup, terbakar

Adie Sufian Zulkefli
Oktober 18, 2024 10:00 MYT
Ketika kejadian berlaku, mangsa sedang bersiap sedia melakukan persiapan untuk ke laut menangkap ikan. - Foto PDRM
KUALA PERLIS: Dua nelayan cedera termasuk seorang parah kerana melecur selepas bot fiber yang dinaiki terbakar di pelantar ikan Kampung Tanah Baru, Kuala Perlis, di sini pada Khamis.
Dalam kejadian jam 11.55 malam itu, mangsa, Mohamad Bakri Idham, 54, dari Kampung Baru, Jalan Sarawak, Kuala Perlis melecur hampir 90 peratus manakala rakannya Nur Azman Sabu, 45, pula mengalami lecur sekitar 45 peratus pada keseluruhan badan.
Semasa kejadian, penduduk kampung di kawasan itu sedang sibuk menguruskan kediaman mereka yang sedang dimasuki air akibat fenomena air pasang besar yang berlaku di beberapa kawasan di Kuala Perlis.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, ketika kejadian berlaku, mangsa sedang bersiap sedia melakukan persiapan untuk ke laut menangkap ikan.
“Bot fiber berkenaan diletakkan berhampiran pelantar Kampung Tanah Bari, Kuala Perlis sebagai persiapan untuk kedua-dua mangsa itu ‘turun’ ke laut selepas itu dan ketika itu mangsa sedang berada dalam bot berkenaan.
“Mengikut maklumat daripada salah seorang mangsa, ketika mereka hendak membuat persiapan itu, mangsa membuat pemeriksaan bot dengan memastikan minyak, bateri dan kelengkapan bot yang lain lengkap sewaktu bertolak ke laut.
“Namun apabila mangsa membuka penutup ruangan tempat simpan bateri, secara tiba-tiba berlaku letupan sehingga mengakibatkan kebakaran pada bot itu,” katanya ketika dihubungi pagi ini.
Katanya, api dari letupan berkenaan menyambar kedua-dua mangsa mengakibatkan mangsa terbakar.
“Menurut mangsa, punca kebakaran berlaku apabila mangsa membuka penutup ruangan penyimpanan bateri dan api berkenaan menyambar kedua-dua mangsa dalam bot itu namun sempat diselamatkan oleh orang kampung yang turut berada dalam kawasan itu.
“Mangsa bagaimanapun selamat dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk menerima rawatan,” katanya.
Kejadian turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah yang bergegas ke lokasi bagi membantu mangsa yang tercedera akibat kebakaran itu.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perlis, Penguasa Kanan Bomba I, Mohd Zaidi Ma’at berkata, seramai 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Perlis dengan satu jentera dikerah ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan sekitar jam 11.56 malam.
“Semasa pasukan bomba tiba, bot nelayan berkenaan sudah pun 50 peratus terbakar dan api berjaya dikawal sekitar jam 12.37 tengah malam.
“Kesemua mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan dan dihantar ke hospital untuk menerima rawatan,” katanya.
#nelayan cedera #bot meletup #terbakar #menangkap ikan
;