Dua nelayan, bot dilaporkan hilang di Pulau Undan
Sinar Harian
Januari 17, 2025 15:00 MYT
Januari 17, 2025 15:00 MYT
MELAKA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) selepas dua nelayan dilaporkan hilang di perairan Pulau Undan di sini, pada petang Khamis.
Pengarahnya, Kapten Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden yang menimpa dua nelayan dengan sebuah bot melalui kumpulan aplikasi WhatsApp Sahabat Maritim pada jam 5 petang.
Menurutnya, mangsa yang hilang ketika keluar memukat pada Rabu lalu dikenali sebagai tekong bot, Muarep Sakem, 63, dan Rosenizam Maharam, 50.
Katanya, majikan mangsa telah membuat laporan polis dan kali terakhir mereka berhubung kira-kira jam 10 pada Khamis dan memaklumkan enjin bot gentian kaca bernombor pendaftaran MKF 3861 berwarna coklat biru yang digunakan mengalami kerosakan.
"Susulan itu Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru segera mengaktifkan operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) pada jam 7.30 petang Khamis.
"Ia termasuk mengatur gerak aset agensi itu ke lokasi kejadian untuk pencarian awal," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.
Ujarnya, bot-bot nelayan berhampiran turut membantu melakukan pencarian di kawasan sekitar, namun setakat ini tiada sebarang petunjuk ditemui.
Katanya, operasi Carilamat diteruskan pagi ini melibatkan lebih 58 pegawai dan anggota daripada Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan SAPURA.
"Sehingga kini kawasan pencarian meliputi lebih 548 kilometer persegi menggunakan sebuah bot Maritim Malaysia, dua bot Pasukan Polis Marin (PPM), sebuah bot Kevlar, serta dua bot aluminium milik JBPM," katanya lagi.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta untuk menghubungi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 atau talian kecemasan 999. -- Sinar Harian