Dua menteri dicadang bertemu, selesai isu pekerja asing

Muhafandi Muhamad
Jun 25, 2022 07:00 MYT
Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kemasukkan pekerja asing telah diluluskan dengan jumlah 270,000 orang. - Foto fail/BERNAMA
TUMPAT: Menteri Sumber Manusia dan Menteri Dalam Negeri dicadang supaya mengadakan pertemuan dengan pihak berkaitan bagi mencari jalan penyelesaikan isu kekurangan pekerja asing.
Syor dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed yang menganggap isu itu wajar diberi perhatian segera.
Mustapa berkata, kemasukkan pekerja asing telah diluluskan dengan jumlah 270,000 orang.
Namun hanya 20,000 yang dibawa masuk ke dalam negara sebagai tenaga kerja.
Kerajaan katanya, memandang serius impak kekurangan pekerja asing ke atas ekonomi di mana setakat 10 Jun lepas hanya 19,000 pekerja asing dari lebih 12 negara pembekal memasuki Malaysia.
Jumlah itu jauh lebih rendah dengan kuota atau keperluan pelbagai sektor yang dianggarkan iaitu kira-kira 266,000 orang.
"Cadangan kita supaya dua menteri berjumpa dengan pihak-pihak berkenaan. Sekarang ini kira-kira 270,000 sudah diluluskan masuk, hanya 20,000 dibawa.
"Itu isunya, kemasukan, bukan perkara senang kerana melibatkan negara pembekal ada 14 negara pembekal jadi kadang-kadang kita luluskan tapi pihak sana sukar.
"Apa pun kita cadangkan dua menteri berjumpa dengan mereka bagi meningkatkan bilangan kemasukan bagi memenuhi keperluan industri," katanya.
Jelasnya kekurangan tenaga kerja asing dalam semua sektor, termasuk pembinaan, perladangan, perkilangan, pembuatan dan sebagainya merencatkan pertumbuhan ekonomi negara.
Bagaimana pun untuk jangka masa panjang, kerajaan menggesa supaya perusahaan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga asing melalui penggunaan teknologi dan automasi serta meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan supaya proses kelulusan permohonan pekerja asing disegerakan agar tidak menjejaskan usaha pemulihan ekonomi.
#pekerja asing #Mustapa Mohamed #impak ekonomi #keperluan pelbagai sektor
;