Dua Menteri Besar bakal ditukar?

Astro Awani
April 20, 2014 13:09 MYT
Awang Selamat menerusi ruangan pojoknya Bisik-Bisik Awang Selamat mendakwa dua Menteri Besar di negeri yang ditadbir Barisan Nasional akan ditukar tidak lama lagi.
Bagaimanapun Awang Selamat tidak menamakan Menteri Besar mana dan dari negeri mana yang dimaksudkan dalam tulisannya yang disiarkan di Mingguan Malaysia hari ini.
"Khabarnya dua menteri besar bakal digantikan tidak lama lagi. Spekulasi mengenainya mulai bertiup bagai sepoi angin petang di pesisiran pantai.
"Tidak perlulah Awang sebut siapa menteri besar berkenaan pada peringkat ini, biarlah ia terus menjadi
desas-desus," tulisan Awang Selamat dipetik.
Awang Selamat turut menyokong usaha berkenaan kerana ia mampu menyuntik kesegaran dalam pentadbiran negeri.
"Awang berpendapat memang perlu ada peralihan bagi menyuntik kesegaran dalam tampuk pentadbiran negeri tertentu.
"Tentu terdapat tokoh yang boleh dijadikan sandaran, yang Awang percaya Najib sudah ada bayangan calon-calonnya. Kita tunggu," katanya.
Katanya, pertukaran dalam pentadbiran negeri wajar dilakukan dan ia tidak perlu dilakukan hanya ketika berlaku pilihan raya umum atau negeri semata-mata.
Awang Selamat juga berpendapat ramai yang menyimpan harapan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO menampilkan muka baharu bagi beberapa jawatan (lantikan) tertentu dalam parti.
#Awang Selamat #Menteri Besar #Mingguan Malaysia
;