Dua maut, treler muatan besi terbabas
Ifti Femida
April 26, 2022 14:49 MYT
April 26, 2022 14:49 MYT
LIPIS: Dua maut apabila lori treler muatan besi yang dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik di Kilometer 55, Jalan Persekutuan Lama Lipis ke Merapoh dekat sini hari ini.
Kejadian yang berlaku sekitar pukul 7.05 pagi itu meragut nyawa pemandu treler, Mohamad Syawal Ahmad Basari, 34, yang beralamat di Kampung Batu 5 , Tapah Road, Perak dan kelindan, Mohd Faizal Mohd Noor, 35, dari Kampong Kemumin, Kelantan.
Ketua Polis Daerah, Suprintenden Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati treler yang dinaiki mangsa sedang dalam perjalanan dari Kuala Lipis menghala ke arah Merapoh.
"Sampai di tempat kejadian, ketika melalui laluan yang berselekoh dan menuruni bukit, treler jenis Volvo yang dipandu Mohamad Syawal dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke arah bahu jalan sebelah kiri.
"Akibat kejadian itu, Mohamad Syawal tersepit di tempat duduk pemandu dan telah meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Azli berkata, Mohd Faizal yang juga kelindan lori treler berkenaan pula tercampak ke luar dan disahkan maut di tempat kejadian.
"Bedah siasat kedua mangsa akan dilakukan selepas keputusan ujian swab COVID-19 diperoleh di Hospital Lipis.
"Lori treler tersebut mengalami kerosakan teruk pada bahagian kepala kenderaan dan sebelah kiri serta berada di atas bahu jalan menghala ke Merapoh," jelas beliau.
Azli berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati sistem jalan satu lorong dan dua hala menuruni bukit, garisan tengah berkembar dan ketika kejadian keadaan laluan kering dan cuaca baik.
Jelasnya lagi, kemalangan tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.