Dua maut, tiga terselamat nahas tiga lori
Sinar Harian
Disember 21, 2023 11:20 MYT
Disember 21, 2023 11:20 MYT
TANGKAK: Dua lelaki maut manakala tiga lagi terselamat dalam nahas tiga buah lori di Kilometer (KM) 164.8, susur masuk kawasan rehat dan rawat (RNR) Tangkak, Lebuhraya PLUS arah selatan, pada awal pagi Khamis.
Menurut komander operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak, Pegawai Bomba Kanan II Zamri Ayob, kemalangan dipercayai berlaku pada 4.26 pagi Khamis.
Katanya, sebaik menerima maklumat mengenai kemalangan berkenaan, dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), dua jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) serta sembilan anggota lapangan (TOA) BBP Tangkak dan sembilan anggota Pasukan Keluaran Operasi (PKO) BBP Bukit Gambir telah dihantar ke lokasi.
"Setibanya PKO ke lokasi, didapati kemalangan tersebut melibatkan sebuah lori 5 tan jenis Isuzu, sebuah lori jenis Hino dan juga sebuah lori 5 tan jenis Hino.
"Mangsa dalam lori Isuzu didapati tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi manakala tiga lagi mangsa dalam lori jenis Hino dan juga sebuah lori 5 tan jenis Hino, terselamat.
"PKO kemudiannya bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat," katanya.
Mangsa yang meninggal dunia kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan sekitar jam 6.05 pagi, Khamis. - Sinar Harian