Dua maut, tiga parah nahas jalan raya
Radhi Muslim
November 15, 2021 11:38 MYT
November 15, 2021 11:38 MYT
KINABATANGAN: Dua maut manakala tiga parah dalam satu nahas jalan raya di Jalan Sandakan ke Kinabatangan, berdekatan Kampung Segaliud, pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, identiti sebenar semua mangsa belum dikenalpasti.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamaluddin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.02 pagi lalu bergegas ke lokasi kejadian dengan enam anggota bomba.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian didapati terdapat satu nahas membabitkan sebuah kenderaan jenis Perodua Alza dipercayai terbabas ke kiri jalan raya.
“Siasatan awal mendapati kenderaan berkenaan sedang menghala ke arah Kinabatangan sebelum dilaporkan terbabas.
“Dua penumpang wanita meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Tiga lagi lelaki termasuk pemandu dilaporkan cedera parah lalu dikejarkan ke Hospital Kinabatangan untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, pada Isnin.
Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 9.22 pagi.