Dua maut termasuk bayi nahas tiga kenderaan

Petrus Bernard
April 1, 2022 06:45 MYT
Mangsa berjaya dikeluarkan pasukan bomba menggunakan peralatan khas. - Foto ihsan PDRM
SEMPORNA: Dua maut termasuk seorang bayi perempuan dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Jalan Tagasan, Tawau - Semporna, petang semalam.
Dalam kejadian jam 4.20 petang itu, kedua-dua mangsa berusia 10 bulan dan 30 tahun disahkan maut akibat tersepit dalam kereta Perodua Kancil.
Selain itu, dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun yang turut berada di dalam kereta berkenaan dilaporkan parah.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.29 petang.
Katanya, sepasukan bomba bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Nahas membabitkan tiga kenderaan iaitu Perodua Kancil, Toyota Hilux dan lori 20 tan.
"Terdapat lima mangsa dilaporkan tersepit dalam Perodua Kancil dan berjaya dikeluarkan pasukan bomba menggunakan peralatan khas," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi kejadian dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
"Manakala tiga mangsa yang parah dihantar ke Hospital Semporna menggunakan jentera EMRS dan ambulans.
"Pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian bagi memastikan tiada bahaya lain wujud. Operasi ditamatkan jam 7.14 petang," katanya.
#Nahas #tersepit #meninggal dunia #bayi
;