Dua maut terkena renjatan elektrik
Vivi Sumanti
September 15, 2019 22:10 MYT
September 15, 2019 22:10 MYT
Dua lelaki berusia 27 dan 50 tahun maut selepas terkena renjatan elektrik di Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK) dekat Kuala Krai, kira-kira 6 petang Sabtu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan (DSP) Wan Fauzi Wan Ishak berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 6.15 petang semalam.
"Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dibawa ke Hospital Kuala Krai untuk dibedah siasat dan sudah dituntut oleh keluarga masing-masing.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Sementara itu, seorang penduduk Nordin Zahari, 53, berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas mendengar penduduk kampung yang berada di kedai makan riuh bercakap mengenai dua individu yang maut terkena renjatan elektrik.
"Sejurus selepas itu, saya bergegas ke Kompleks Perkayuan Kelantan yang berada tidak jauh dari tempat saya makan untuk mengesahkan apa yang berlaku.
"Sebaik sahaja sampai di pondok pengawal KPK, pengawal keselamatan memberitahu saya, anak dan isteri kepada salah seorang daripada mangsa yang meninggal dunia berada di lokasi kejadian," katanya.
Katanya, bimbang dengan keadaan itu, dia segera ke lokasi mayat kedua-dua mangsa itu ditemui kerana bimbang ada individu berdekatan cuba menyentuh tubuh badan si mati yang terkena renjatan elektrik.
"Kemudian saya menghubungi polis dan Klinik Kesihatan Dabong untuk memaklumkan kejadian yang berlaku," katanya.
#Hospital Kuala Krai
#Klinik Kesihatan Dabong
#Kompleks Perkayuan Kelantan
#KPK
#Kuala Krai
#mati mengejut
#maut renjatan elektrik
#Polis Daerah Kuala Krai