Dua maut, seorang parah selepas tercampak keluar dari kenderaan di Port Dickson

Bernama
Disember 22, 2020 17:17 MYT
Mangsa yang maut ialah penumpang hadapan dan penumpang belakang kenderaan, Seng Pang Hemg, 57, dan isteri Lim Mei May, 50, manakala pemandu kenderaan Yee Siew Mei, 35, mengalami cedera parah di kepala dan dada. - Gambar hiasan
PORT DICKSON: Sepasang suami isteri maut manakala anak saudara perempuan mereka cedera parah selepas kesemua mereka tercampak keluar dari kenderaan jenis Honda HRV yang dinaiki dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Seremban-Port Dickson hari ini.
Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata dalam kejadian 1.10 tengah hari itu, mangsa yang maut ialah penumpang hadapan dan penumpang belakang kenderaan, Seng Pang Hemg, 57, dan isteri Lim Mei May, 50, manakala pemandu kenderaan Yee Siew Mei, 35, mengalami cedera parah di kepala dan dada.
"Siasatan awal mendapati kenderaan yang dinaiki mereka yang datang dari arah Teluk Kemang, Port Dickson menghala ke Seremban telah hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan ke kawasan lapang dan kenderaan itu dipercayai telah berpusing beberapa kali menyebabkan kesemua mangsa tercampak keluar.
"Pasangan suami isteri berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan oleh pegawai perubatan Hospital Port Dickson manakala pemandu kenderaan kini dirawat di zon merah hospital berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Aidi Sham berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA
#PLUS #Seremban-Port Dickson #kemalangan maut #Seng Pang Hemg #Lim Mei May #Teluk Kemang #Hospital Port Dickson #zon merah #siasatan #Akta Pengangkutan Jalan 1987
;