Dua maut, seorang parah dihempap lantai konkrit kilang runtuh

Bernama
Ogos 28, 2020 14:06 MYT
Bomba mengambil masa kira-kira satu jam setengah untuk mengeluarkan kedua-dua mayat mangsa. -Bernama
Dua lelaki Rohingya maut manakala seorang rakan mereka cedera parah apabila lantai tingkat satu sebuah kilang memproses makanan haiwan di Batu 22, Ijok di sini runtuh pada kira-kira 11.30 pagi ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 11.49 pagi dan 40 anggota serta pegawai termasuk Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) dikerah ke lokasi berkenaan.
Beliau berkata dua yang maut, Mohammad Rahim Md Kabir dan Hedayad Tullah Adu Karim ditemukan dalam keadaan tertiarap akibat dihempap lantai konkrit itu.
Katanya, seorang lagi mangsa, Habi Basyar Abul Nazar cedera parah di kepala akibat terkena serpihan runtuhan lantai konkrit berkenaan namun sempat melarikan diri ketika kejadian.
“Difahamkan ketika kejadian, ketiga-tiga mangsa yang berumur sekitar 20-an sedang melakukan kerja-kerja memunggah barang di tingkat bawah untuk dipindahkan ke kilang baharu.
“Bagaimanapun lantai konkrit di tingkat atas runtuh lalu menghempap mereka. Mangsa yang sempat melarikan diri telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh oleh pihak kilang untuk rawatan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Norazam berkata bomba mengambil masa kira-kira satu jam setengah untuk mengeluarkan kedua-dua mayat mangsa di bawah sisa lantai konkrit yang runtuh itu dan dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat.
Beliau berkata punca kejadian runtuhan itu masih dalam siasatan dan pihaknya sedang membuat semakan lanjut mengenai status tahap keselamatan kilang berkenaan.
Seorang saksi kejadian yang juga pekerja di kilang itu, Korim Mordim Sirajuddin, 22, berkata ketiga-tiga mangsa adalah rakannya dan sebelum kejadian, mereka ada memanggilnya untuk membantu kerja-kerja memunggah barang berkenaan.
“Saya baru selesai kerja saya, mereka bertiga panggil saya minta tolong angkat barang. Ketika saya sedang beberapa langkah berjalan ke arah mereka, lantai konkrit itu tiba-tiba runtuh,” katanya.
-- BERNAMA
#Hospital #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #keselamatan #mangsa #mayat #operasi #Rohingya #siasatan