Dua maut, seorang parah dalam nahas lori bertembung

Astro Awani
Disember 7, 2021 14:41 MYT
Lori syarikat pembersihan bertembung dengan sebuah lori tiga tan di jalan berhampiran bangunan ST Rhodes Club, Labis, Segamat pada Selasa sehingga menyebabkan dua orang maut dan seorang lagi cedera parah. - Gambar ihsan BOMBA
SEGAMAT: Seorang pemandu dan kelindan lori syarikat pembersihan maut selepas kenderaan dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori tiga tan di jalan berhampiran bangunan ST Rhodes Club, Labis di sini, pada Selasa.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labis, Penolong Penguasa Bomba, Muhammad Hafifie Md Sarif berkata, kedua-dua mangsa yang maut dikenali sebagai Ramli Ibor, 58, dan Muhammad Helmi Karim, 30.
Manakala pemandu lori tiga tan, Nor Fazli Ramli, 30, cedera parah di bahagian kepala dan dibawa ke Hospital Segamat untuk rawatan susulan.
"Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung insiden pada pukul 8.11 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian.
"Alat menyelamat khas dan sebuah unit pengusung telah digunakan bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dari kenderaan.
"Pemandu dan kelindan lori dari syarikat pembersihan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan," katanya dalam kenyataan yang diedarkan hari ini.
Katanya, operasi disertai 14 anggota dan tamat pada pukul 10.56 pagi.
#dua maut #seorang parah #lori bertembung #lori tiga tan
;