Dua maut, Perodua Viva bertembung lori bawa batu

Vivi Sumanti
Jun 2, 2018 16:42 MYT
Dalam kejadian kira-kira 8.45 pagi tadi, kesemua mangsa yang maut dan cedera itu merupakan penumpang kereta jenis Perodua Viva.
Dua maut manakala seorang lagi cedera dalam satu kemalangan melibatkan sebuah lori membawa batu dengan sebuah kereta di Kilometer 43, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, berhampiran simpang Kemuning di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 8.45 pagi tadi, kesemua mangsa yang maut dan cedera itu merupakan penumpang kereta jenis Perodua Viva.
Menurut Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Dzulkifli An Ghani, mangsa yang maut adalah penumpang di bahagian depan dan belakang dikenali sebagai Eddie Mustakim Busu, 37 tahun yang beralamat di Gomeng, Negeri Sembilan dan Nor Hasmini Ismail, 32 tahun beralamat di Jedok, Tanah Merah.
Manakala katanya, pemandu kereta berkenaan mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Machang untuk rawatan lanjut.
"Dalam kejadian tersebut, Perodua Viva yang dinaiki mereka dikatakan dalam perjalanan dari arah Kuala Krai ke Kota Bharu.
"Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, kereta berkenaan hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu dari arah bertentangan," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.
Kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Machang untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
#cedera #Dzulkifli An Ghani #kemalangan #Kemuning #Kota Bharu #Kuala Krai #lori bawa batu #machang #maut #Perodua Viva
;