Dua maut Nissan Fairlady terbabas sebelum terbakar

Sinar Harian
Jun 12, 2020 14:24 MYT
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -Gambar/ Sinar Harian
Dua lelaki maut selepas kereta jenis Nissan Fairlady dinaiki mereka terbabas sebelum terbakar di Kilometer 26.7 Lebuh Raya Karak menghala Plaza Tol Gombak di sini, awal pagi Jumaat.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, kedua-dua lelaki tempatan itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian kira-kira jam 1.20 pagi.
"Siasatan awal mendapati, kereta yang dipandu mangsa berusia 29 tahun itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan sebelum terbakar.
"Insiden berkenaan menyebabkan pemandu tercampak keluar manakala penumpang berusia 23 tahun tersepit dan rentung di dalam kereta," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#dua maut #fairlady #Gombak #karak #kemalangan #kemalangan maut #kereta #mangsa #meninggal dunia #Nissan
;