Dua maut nahas kereta, treler di LPT

Azee Shafy
Julai 28, 2022 09:00 MYT
Kemalangan melibatkan sebuah treler dan Perodua Myvi berlaku di Kilometer 126 LPT, dekat Temerloh, kira-kira jam 2.47 pagi ini. - Gambar ihsan JBPM
TEMERLOH: Dua maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 126 Lebuhraya Pantai Timur (LPT), di sini, awal pagi ini.
Mereka yang maut ialah Tan Wee Li, 39 tahun, dan Nur Susilawati Che Deraman, 35 tahun, yang masing-masing beralamat di Cheras, Kuala Lumpur dan Sungai Lembing, Kuantan.
Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, berdasarkan laporan, nahas jam 2.47 pagi itu membabitkan kereta jenis Perodua Myvi dan sebuah treler.
Katanya, seramai enam anggota termasuk Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh dihantar ke lokasi kemalangan.
"Kedua-dua mangsa yang tersepit dalam kereta dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan keselamatan.
"Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Bagaimanapun, pemandu dan kelindan treler tidak mengalami sebarang kecederaan.
#kemalangan maut #LPT #nahas kereta dan treler #temerloh
;