Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, mangsa yang maut dikenali sebagai Razali Sahad, 48 tahun, dan Muhammad Alizzat Narayi, 28 tahun.
Sabarodzi berkata, dua mangsa yang merupakan pemandu dan penumpang lori lima tan itu tersepit dan disahkan maut di lokasi kejadian.
"Bomba terima panggilan kecemasan pada jam 3.33 pagi dan seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan sampai di lokasi 3.42 pagi.
"Kemalangan membabitkan sebuah lori lima tan dan treler. Terdapat dua mangsa dari lori tersebut yang tersepit dan disahkan maut oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sabarodzi berkata, ketua operasi mengarahkan anggota mengeluarkan mangsa tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat.
Setelah itu, mangsa diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya.
Operasi berkenaan tamat sepenuhnya jam 6.05 pagi.