Dua maut, lima pengsan terhidu gas beracun

Rohana Wahed
Januari 10, 2019 09:30 MYT
Tujuh pekerja warga asing terperangkap di bahagian bawah kapal ketika kejadian kebocoran gas beracun.
Sekurang-kurangnya dua maut manakala lima lagi tidak sedarkan diri dipercayai terhidu gas beracun ketika membaiki bahagian kapal dalam satu insiden yang berlaku di Sibu, pada Rabu.
Dua mangsa yang maut merupakan warganegara Bangladesh, dikenal pasti sebagai Aktar dan Maznur.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 6.28 petang sebelum pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah bergerak ke lokasi.
Setiba di tempat kejadian, didapati tujuh pekerja warga asing terperangkap di bahagian bawah kapal tersebut.
Malah, kesemua pekerja terbabit dilaporkan telah pengsan.
Operasi menyelamat dilakukan dengan menggunakan bantuan alat pernafasan dan tali untuk turun mencari mangsa yang pengsan akibat terhidu gas beracun.
Kesemua mangsa berjaya dinaikkan ke bahagian atas kapal pada pukul 7.40 malam dan dibawa ke Hospital Sibu untuk menerima rawatan lanjut.
Difahamkan, kerja-kerja membaiki di bahagian bawah kapal tersebut turut melibat pekerja warganegara Indonesia.
Namun, kesemua mereka berada dalam keadaan selamat.
#Bangladesh #bomba #Gas beracun #Indonesia #mangsa #maut #Sarawak #Sibu #warga asing
;