Dua maut, kereta terhumban dalam parit di Tanjung Karang

Afiezy Azaman
September 7, 2019 11:48 MYT
Keadaan kereta dipandu Muhammad Fadzli yang terhumban ke dalam parit selepas mengalami kemalangan awal pagi Sabtu. - Foto JBPM Selangor
Dua maut dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di Jalan Tali Air 3, Sawah Sipadan, Tanjung Karang, Selangor, awal pagi ini.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.31 pagi dan pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Karang dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, bomba mendapati kejadian melibatkan sebuah kereta jenis Mercedes yang bertembung dengan sebuah kereta jenis Perodua Myvi.
“Kereta Myvi tersebut telah terhumban ke dalam parit dan kedua-dua pemandu tersepit dalam kenderaan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan dari kenderaan masing-masing namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandu Mercedes dikenali sebagai Aziz Jamali, 66 tahun, manakala pemandu Perodua Myvi, Muhammad Fadzli Muhammad Yusari, 40 tahun.
“Mayat mereka diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” jelasnya.
#Aziz Jamali #Balai Bomba dan Penyelamat #Jabatan Bomba dan Penyelamat #kemalangan #kenderaan #kereta terhumban #maut #Mercedes #Muhammad Fadzli Muhammad Yusari #Myvi #parit #pusat gerakan operasi #Selangor #Tanjung Karang
;