Dua maut kereta rempuh kenderaan di pusat servis
Siti Nur Aqilla Omar
April 9, 2023 12:10 MYT
April 9, 2023 12:10 MYT
BATU PAHAT: Dua lelaki maut, manakala seorang rakan mereka parah dalam satu kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 11, Jalan Kluang-Batu Pahat, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah berkata, pemandu kereta Honda Civic, Tei Kai Hong, 22 tahun, dan penumpang belakang, Marcus Teo Howe Yue, 19 tahun, maut di lokasi kejadian.
Katanya, kejadian yang berlaku jam 1.15 pagi itu turut menyebabkan penumpang hadapan yang identitinya belum dikenal pasti, parah.
"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku lebih kurang 12.50 pagi apabila pemandu Honda Civic bersama dua rakannya yang kesemua warga tempatan, dalam perjalanan dari arah bandar Batu Pahat ke arah Sri Gading.
"Apabila sampai di tempat kejadian, kereta yang dipandu hilang kawalan lalu terbabas ke kiri dan telah melanggar empat buah kereta yang diletakkan di hadapan pusat servis kenderaan.
"Akibat kejadian tersebut, pemandu dan penumpang belakang mengalami cedera parah di bahagian kepala dan badan dan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Manakala penumpang hadapan juga mengalami cedera parah dan dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat untuk mendapatkan rawatan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram Firdaus Ahmad memaklumkan, lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram dengan kekuatan keseluruhan 12 anggota telah dihantar ke tempat kejadian.
Katanya, terdapat dua mangsa tersepit dan seorang mangsa telah keluar sendiri sebelum pasukan keluaran operasi (PKO) tiba di lokasi kejadian.
Mangsa tersebut dihantar ke hospital menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut.
“PKO bertindak mengeluarkan dua mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas dan menyerahkan mereka kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.