Dua maut kenderaan terbabas, langgar penghadang jalan MRR2

Bernama
November 8, 2020 11:51 MYT
Sebuah MPV jenis Toyota Wish telah terbabas melanggar penghadang jalan, dengan dua orang mangsa di dalamnya. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Dua maut dalam kemalangan selepas kenderaan yang mereka naiki hilang kawalan lalu merempuh penghadang jalan, dalam kejadian di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala ke Selayang berdekatan Bulatan Batu Caves, Gombak di sini pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dalam kenyataan menyatakan seorang penumpang berumur 25 tahun ditemui meninggal dunia, sementara pemandu berumur 29 tahun, tersepit di bahagian tempat duduknya dalam kejadian kira-kira 6.48 pagi itu.
“Bomba terdahulu menerima pemakluman kemalangan itu sebelum bergegas ke tempat kejadian. Setibanya disitu terdapat sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Wish yang terbabas melanggar penghadang jalan, dengan dua orang mangsa di dalamnya.
“Penumpang dalam kenderaan tersebut bagaimanapun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, pihak bomba kemudiannya terpaksa memotong pintu kenderaan terbabit bagi tujuan mengeluarkan pemandunya yang tersepit.
“Mangsa berjaya dikeluarkan namun turut disahkan meninggal dunia. Kedua-dua mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
-- BERNAMA
#mrr2 #Selayang #Bulatan Batu Caves #kemalangan #kemalangan maut #polis #meninggal dunia #mangsa #bomba #tersepit #hilang kawalan #rempuh penghadang jalan #lebuhraya lingkaran tengah 2 #JBPM Kuala Lumpur
;