Dua maut kemalangan kereta dan treler dekat Sitiawan

Aida Aziz
September 22, 2020 10:55 MYT
Satu kemalangan berlaku pagi ini membabitkan sebuah kereta dan treler di Jalan Teluk Intan-Sitiawan, berhampiran Kampung Kayan di Sitiawan. - Foto ihsan pembaca
Dua lelaki maut dalam kemalangan membabitkan kereta dan treler di Jalan Teluk Intan-Sitiawan berhampiran Kampung Kayan di Sitiawan, hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Zaibidi Muhi, 40 tahun, dan Mohd Raimi Rustam, 34 tahun, yang menaiki Proton Wira dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 7.32 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.
Ujarnya, kereta mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Sitiawan menghala ke Teluk Intan manakala treler tersebut datang dari arah bertentangan.
"Anggota bomba yang tiba di lokasi mendapati, kemalangan membabitkan sebuah kereta dan treler, menyebabkan seorang mangsa tersepit di tempat duduk pemandu, manakala seorang lagi mangsa sudah dikeluarkan oleh orang awam.
"Bomba mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan mangsa sebelum kedua-dua mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, operasi tamat sepenuhnya pada 8.18 pagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung ACP Nor Omar Sappi ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
#bomba #JBPM #kemalangan #kereta #mangsa #manjung #maut #mayat #meninggal dunia #pemandu #polis #Proton #Sitiawan #Teluk Intan #tempat duduk kereta #tersepit
;