Dua maut, dua parah kereta terbabas
Sinar Harian
Februari 22, 2023 22:40 MYT
Februari 22, 2023 22:40 MYT
MARANG: Dua maut manakala dua lagi parah selepas kereta dinaiki terbabas dalam kejadian di kilometer 54, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Jambu Bongkok, di sini kira-kira jam 2.40 petang pada Rabu.
Mangsa yang maut ialah pekerja syarikat minyak dan gas, Muhammad Rafizan Rozlan, 23, dan seorang pelajar, Nursyazwani Shamsudin Satin, 17.
Muhammad Rafizan berada di tempat duduk hadapan penumpang manakala Nursyazwani berada di tempat duduk penumpang belakang sebelah kiri kereta meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, nahas itu berlaku ketika kereta jenis Honda Civic dinaiki mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menghala ke Dungun.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu lelaki berusia 24 tahun itu tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan dan sebatang tiang lampu yang berada di tengah jalan.
"Kejadian itu menyebabkan pemandu dan seorang penumpang belakang cedera parah manakala penumpang hadapan dan seorang lagi penumpang belakang meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya di sini, pada Rabu.
Mangsa yang cedera parah adalah Muhammad Sahrul Shamsudin Satin, 24, (pemandu) dan pelajar GiatMara Paka di Dungun, Muhammad Suhaimi Rozlan, 18.
Mohd Zain berkata, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Dungun untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.