Dua maut, dua lagi cedera dalam letupan kilang di Puchong
Afiezy Azaman
Februari 23, 2024 12:20 MYT
Februari 23, 2024 12:20 MYT
KUALA LUMPUR: Dua individu maut manakala dua lagi cedera dalam satu letupan di sebuah kilang di Taman Perindustrian Puchong Utama, Puchong, hari ini.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 10.14 pagi.
"Letupan melibatkan gas acetylene di sebuah premis berkeluasan 1,800 kaki persegi dengan empat mangsa terlibat.
"Kerja-kerja pengudaraan sedang dilakukan untuk mengeluarkan gas yang masih berada di dalam premis.
"Pegawai Kementerian Kesihatan mengesahkan dua mangsa meninggal dunia dan dua lagi cedera akibat letupan tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Ahmad Mukhlis berkata, identiti keempat-empat mangsa masih belum dapat disahkan.
"Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.