Dua maut dalam tandas, cuba elak api marak

Rudi Affendi Khalik
November 11, 2019 08:49 MYT
Sebuah rumah yang dijadikan bengkel untuk menyimpan alat ganti kenderaan musnah terbakar sepenuhnya. Foto JBPM Sarawak
Dua lelaki maut dipercayai lemas dalam insiden kebakaran rumah di Rejang Park di sini, awal pagi ini.
Kedua-dua lelaki tersebut berada di dalam tandas, dipercayai cuba menyelamatkan diri ketika api marak, sebelum meninggal dunia akibat kesukaran bernafas.
Pemangku Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 2 pagi.
Tiga jentera dan dua ambulans EMRS dengan kekuatan 22 anggota diatur gerak ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Sibu dan Sungei Merah.
"Setibanya di lokasi, pasukan mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah yang dijadikan bengkel untuk menyimpan alat ganti kenderaan.
"Rumah tersebut daripada jenis kekal setingkat, musnah terbakar sepenuhnya. Manakala rumah kedua, jenis kekal dua tingkat, terjejas 10 peratus," katanya.
Anggota terlibat, tambah Tiong, membuat pemadaman menggunakan satu aliran 200 kaki dengan cabang pembahagi, bersumberkan air jentera.
"Pasukan kemudian melakukan pencarian agresif setelah mendapat maklumat orang awam yang mengatakan ada mangsa yang terperangkap.
"Pada jam 2.46 pagi, pasukan menemui dua mangsa lelaki di dalam bilik tandas, dalam keadaan sempurna namun tidak bernyawa."
Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang turut berada di lokasi.
Mayat seterusnya diserahkan kepada pihak polis.
Identiti kedua-dua mangsa, katanya lagi, masih belum dikenal pasti manakala siasatan masih dijalankan untuk menentukan punca kejadian.
#alat ganti kenderaan #API #bengkel #bomba #kebakaran #lemas #mangsa #maut #mayat #meninggal dunia #Pemadaman #polis #rumah #siasatan #Sibu #Tiong Ling Hii
;