Dua maut dalam letupan di dalam kapal di perairan Bintulu

Rudi Affendi Khalik
Ogos 3, 2024 04:30 MYT
Dua pekerja kapal maut manakala seorang lagi cedera dalam satu letupan membabitkan sebuah kapal berhampiran pelantar minyak di Bintulu. - Foto JBPM Sarawak
BINTULU: Dua maut dan seorang parah dalam insiden letupan membabitkan sebuah kapal di perairan Samalaju, 23 batu nautika dari pantai Samalaju, di Bintulu, Sarawak.

Ringkasan AI
  • Letupan Kapal Berhampiran Pelantar Minyak: Dua pekerja kapal telah meninggal dunia manakala seorang lagi mengalami kecederaan dalam satu letupan yang melibatkan sebuah kapal berdekatan dengan pelantar minyak. Insiden ini berlaku di lokasi yang belum dinyatakan.
  • Tindakan Cepat: Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Hendery Ardimanshah, mengesahkan bahawa pasukan tiga anggota ambulans EMRS telah dikejarkan ke lokasi di Jeti Pelabuhan Bintulu. Lima ambulans dari Hospital Bintulu juga turut dikerahkan untuk memberikan bantuan.
  • Mangsa dan Identiti: Tiga mangsa yang tiba dengan kapal didapati dalam keadaan tidak sedarkan diri. Dua daripadanya telah disahkan meninggal dunia, manakala seorang lagi mengalami kecederaan. Identiti mangsa yang meninggal dunia hanya dikenal pasti sebagai Muhamad Firdaus dan George.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Nixon Joshua berkata, kesemua mangsa terbabit merupakan anak kapal tersebut.
Insiden membabitkan kapal Icon Amara dikatakan berlaku sekitar jam 10.40 malam ketika kapal tersebut sedang menuju ke pelantar Patricia.
Jelas Nixon, sejurus mendengar letupan di bilik enjin, semua kakitangan berkejar ke bahagian bawah kapal dan mendapati bilik enjin berasap.
Pintu utama bilik enjin juga tercabut keluar sebelum usaha menyelamat digerakkan, termasuk seorang mangsa cedera parah melecur di muka.
Difahamkan, kejadian tersebut membabitkan lima mangsa, dengan dua daripada mangsa lain telah dipindahkan ke kapal JM Purnama untuk mendapatkan rawatan awal, manakala tiga yang lain dibawa Pelabuhan Bintulu.
Identiti mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Pembantu Jurutera; Muhamad Firdaus Abdul Fatah, 36, dari Perak dan Oiler, George Ngilah, 24, dari Sibu.
Seorang lagi mangsa telah dikejarkan ke Hospital Nyabau untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Hendery Ardimanshah berkata, pihaknya menerima maklumat untuk membantu pihak Hospital Bintulu sekitar jam 12.57 tengah malam.
"Pihak bomba menerima panggilan daripada pihak KKM untuk membantu dalam urusan perawatan ke atas tiga-tiga mangsa berkenaan, ketiga-tiga mangsa adalah susulan daripada kejadian letupan kapal.
"Pihak bomba dalam hal ini hanya membantu pihak KKM menguruskan kecederaan dan mangsa-mangsa yang terlibat," katanya ketika dihubungi.
Difahamkan kapal tersebut yang beroperasi di kawasan telaga minyak PTTEP SK kini sedang ditunda ke Bintulu untuk siasatan lanjut.
#pekerja kapal maut #Bintulu #letupan #Bomba Sarawak