Dua maut dalam insiden tembakan di Kampung Simpang Tok Ku - Polis

Astro Awani
April 5, 2022 16:52 MYT
Unit Forensik Polis Diraja Malaysia melakukan pemeriksaan pada kenderaan dan salah seorang daripada dua lelaki yang terbunuh dalam kejadian tembak-menembak dengan pihak polis di Kampung Simpang Tokku hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA TERENGGANU: Dua suspek yang dipercayai terlibat dalam kes jenayah dan dadah maut ditembak dalam satu insiden berbalas tembakan di Kampung Simpang Tok Ku, Kuala Terengganu pada Selasa.
Kedua-dua lelaki warga tempatan itu maut di tempat kejadian dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi.
Timbalan Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner Wan Rukman Wan Hassan berkata ketika kejadian pihaknya sedang melakukan rondaan Op Kesan sebelum terserempak dengan sebuah kereta Honda Civic dalam keadaan mencurigakan di Kampung Wakaf Beruas.
Katanya pihak polis telah meminta pemandu berkenaan untuk memberhentikan kenderaannya namun mereka bertindak melarikan diri sebelum pihak polis mengejar dan berjaya menghalangnya.
“Secara tiba-tiba salah seorang penumpang di dalam kenderaan tersebut telah melepaskan satu das tembakan ke arah pihak polis, maka polis telah melepaskan tembakan kembali ke arah suspek.
"Seorang suspek yang berada dalam kenderaan itu telah melarikan diri dan kita telah berjaya mengejar suspek tersebut lebih kurang 300 meter daripada tempat kejadian pertama dan dipercayai suspek telah bersembunyi dalam sebuah rumah kosong yang berhampiran dan kita telah berjaya mengepung dan meminta suspek untuk menyerahkan diri. Malangnya suspek tidak keluar daripada rumah tersebut," katanya pada satu sidang media di sini hari ini.
Tambahnya, susulan itu pihaknya berjaya memasuki rumah berkenaan namun suspek terus bertindak liar dengan melepaskan tembakan ke arah pihak polis namun terkena penghadang sebelum pihaknya membalas kembali tembakan tersebut.
Katanya susulan insiden tembakan itu seorang suspek telah meninggal dunia di dalam kenderaan tersebut manakala seorang lagi di dalam rumah kosong.
Pihaknya sedang mengenal pasti identiti kedua-dua suspek.
#insiden tembakan #dua maut #Polis Terengganu #Kuala Terengganu #Kampung Simpang Tok Ku
;