Dua maut dalam insiden bas ekspres rempuh pembahagi jalan

Nazialita Geynna Maharan
Julai 1, 2016 21:14 MYT
Kejadian dipercayai disebabkan oleh tindakan pemandu bas yang cuba mengelak sebiji tayar yang terjatuh di atas jalan.
Seorang wanita maut dalam kemalangan di Kilometer 194.9 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran kawasan Rehat dan Riadah (R&R) Bukit Merah pada petang Jumaat.
Mangsa, Ho Mei Lien, 56, meninggal dunia di tempat kejadian selepas tercampak keluar dari cermin hadapan setelah bas ekspres yang dinaikinya terbabas dan melanggar pembahagi jalan.
Menurut Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Omar Bakhtiar Yaacub, kejadian dipercayai disebabkan oleh tindakan pemandu bas yang cuba mengelak sebiji tayar yang terjatuh di atas jalan.
"Kejadian sekitar jam 6.10 petang itu berlaku apabila sebuah bas ekspres yang membawa 38 penumpang menuju ke Butterworth dipercayai mengelak sebiji tayar yang jatuh di lorong kanan.
"Bas ekspres itu kemudiannya terbabas melanggar pembahagi jalan sebelum merempuh ‘anti-climb’ yang dipasang di tengah lebuh raya.
"Impak perlanggaran itu menyebabkan mangsa terpelanting keluar daripada cermin hadapan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat malam..
Katanya lagi, akibat rempuhan kuat, pemandu bas Zulkifli Mohd Yusoff pengsan sebelum meninggal dunia di Klinik Kesihatan Gunung Semanggol ketika mendapatkan rawatan.
Tambahnya, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.
#kemalangan bas ekspres #langgar pembahagi jalan #Lebuhraya Utara Selatan #PLUS
;