Dua maut, 1 cedera nahas babit 7 kenderaan di lebuh raya PLUS

Aida Aziz
Februari 3, 2024 10:00 MYT
Dua maut dalam kemalangan membabitkan tiga lori dan empat kereta di Kilometer 288.1 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara dekat Kampung Tersusun Tekah, Simpang Pulai, hari ini. - Gambar JBPM Perak
SIMPANG PULAI: Dua maut dalam kemalangan membabitkan tiga lori dan empat kereta di Kilometer 288.1 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara dekat Kampung Tersusun Tekah, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, laporan awal mendapati mangsa yang maut merupakan pemandu dari dua lori yang terbabit.
Masing-masing merupakan pemandu pemandu lori muatan gula dan muatan barangan logam.
Empat kereta yang terbabit pula adalah dari jenis dua kenderaan pelbagai guna (MPV) dan dua kereta sedan.
Katanya, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.46 pagi, sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai dengan dibantu BBP Gopeng ke lokasi.
Ujarnya lagi, setibanya jentera di lokasi mendapati dua pemandu lori meninggal dunia di lokasi kejadian manakala mangsa dari lori kontena selamat.
"Didapati terdapat muatan gula yang tumpah di atas jalan.
"Kerja- kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit dan dipercayai meninggal dunia telah dilaksanakan oleh pihak bomba dan tdiserahkan kepada pihak polis.
"Selain itu bagi mangsa dari kereta pula, terdapat seorang mengalami kecederaan patah tangan dan dibawa ke hospital dengan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya.
#kemalangan #Lebuhraya Utara Selatan #dua maut #kemalangan tujuh kenderaan
;