Dua marshal ditahan, empat lagi diburu
Sinar Harian
November 23, 2021 11:53 MYT
November 23, 2021 11:53 MYT
PORT DICKSON: Dua lelaki yang bertindak sebagai pengiring atau marshal dengan memberhentikan kenderaan awam bagi memberi laluan kepada sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi di lampu isyarat Sua Betong di sini ditahan polis awal pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, lelaki berkenaan yang berusia 26 dan 27 tahun itu ditahan antara jam 12.30 tengah malam hingga jam 2.45 pagi.
"Masing-masing yang bekerja sebagai pembantu firma guaman dan penyelia kilang itu ditahan di Springhill dan Lukut di sini.
"Mereka kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 21 Akta Polis dan Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, polis turut merampas dua buah motosikal jenis Kawasaki GTR 1400 dan Kawasaki Z800, topi keledar, pakaian dan kasut yang digunakan ketika rakaman diambil.
Selain itu, katanya, polis masih mengesan empat lagi individu yang turut bertindak sebagai marsyal seperti mana dalam rakaman video yang tular.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan polis sedang mengesan beberapa individu yang bertindak sebagai marshal dengan memberhentikan kenderaan awam bagi memberi laluan kepada sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi di sebuah lampu isyarat di sini seperti dipaparkan dalam video tular di media sosial sejak Ahad.
Ketika kejadian, lampu isyarat jelas berwarna merah dan tindakan marshal itu dipercayai bertujuan untuk memberi laluan kepada sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi yang bergerak secara konvoi bagi melepasi lampu isyarat tersebut.
Pergerakan motosikal berkuasa besar itu dari arah Lebuh Raya Seremban-Port Dickson (SPDH) melalui lampu isyarat Sua Betong menghala ke bulatan Sunggala, Telok Kemang.
*Berita asal di Sinar Harian