Dua mangsa terakhir tanah runtuh Tanjung Bungah ditemui
Hilal Azmi
Oktober 23, 2017 09:32 MYT
Oktober 23, 2017 09:32 MYT
Dua mangsa terakhir kejadian tanah runtuh di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah, telah dijumpai pasukan penyelamat pada jam 7:03 pagi dan 7:13 pagi ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Farizan Darus memberitahu, mayat warga Bangladesh telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) pada 8:34 pagi.
“Kedua-dua mangsa ditemui berdekatan antara satu sama lain.
“Mayat warga Malaysia agak sukar untuk dikeluarkan memandangkan mangsa berada di lokasi yang banyak cerucuk besi,” katanya pada satu sidang media di lokasi kejadian pada Isnin.
Kedua-duanya dikenali sebagai kerani warga Malaysia, Yuen Kuok Wern, dan pekerja am warga Bangladesh, Mohd Moninil Islam.
Jelas Farizan, pihak penyelamat dijangka memerlukan masa sehingga dua jam untuk mengeluarkan mangsa terakhir.
Dalam perkembangan berkaitan, tiga mangsa yang terselamat telah ditemui polis.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Anuar Omar mengesahkan kesemua mereka dibawa ke lokasi kejadian untuk memberi keterangan.
“Polis telah berjaya kesan mereka petang Ahad dan kita telah rakamkan percakapan bersama mereka.
“Semua mereka ada dokumen perjalanan sah yang mana seorang daripada mereka warga Bangladesh, seorang warga Indonesia manakala seorang lagi warga Myanmar,” katanya kepada media dalam sidang media sama.