Dua mangsa lemas ditemukan dalam keadaan berpaut

Bernama
Oktober 3, 2016 07:30 MYT
Ketiga-tiga mangsa disifatkan sebagai individu yang alim dan mempunyai pendidikan agama yang tinggi. - Gambar hiasan
Dua daripada tiga mayat mangsa lemas di Air Terjun Lubuk Jepun di sini ditemukan dalam keadaan berpaut antara satu sama lain, menurut saksi kejadian.
Dalam insiden kira-kira 10.30 pagi Isnin itu, Muhammad Abdullah, 22, Mohd Sazwan Rahim dan Azrul Hisham Azman, masing-masing berusia 27 tahun, ditemukan mati lemas ketika beriadah bersama tiga lagi rakan mereka di kawasan air terjun berkenaan di Batu 16 Gombak di sini.
Saksi berkenaan, yang juga rakan mangsa, Muhammad Hisyam Haris, 21, berkata sebelum mayat Muhammad dan Mohd Sazwan ditemukan, mayat Azrul Hisham ditemukan terlebih dahulu di tempat kejadian.
"Jasad Muhammad dan Mohd Sazwan sukar dibawa keluar kerana berada di dasar air terjun itu," katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur.
BACA: Tiga pelajar IPT lemas di Air Terjun Lubuk Jepun, Gombak
Menceritakan detik cemas itu, pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu berkata terdetik di hatinya untuk membantu Muhammad, pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, yang tergelincir ketika cuba mengambil selipar yang terjatuh ke dalam air terjun berkenaan.
Namun, menyedari air agak dalam dan arus deras menyebabkan beliau terpaksa mengambil keputusan sukar untuk membatalkan hasratnya itu.
"Air terjun itu agak dalam, kira-kira 3.65m hingga empat meter. Azrul Hisham dan Mohd Sazwan terjun untuk menyelamatkan Muhammad, namun mereka juga lemas," katanya, merujuk kepada tindakan dua pelajar USIM itu.
Muhammad Hisham berkata beliau bersama tiga mangsa dan dua lagi rakan mereka bertolak dari Nilai, Negeri Sembilan pada 6 pagi dan tiba di air terjun itu sekitar 10 pagi sebelum kejadian berlaku.
Beliau menyifatkan ketiga-tiga mangsa sebagai individu yang alim dan mempunyai pendidikan agama yang tinggi. "Kesemua arwah orang yang sangat baik hati," katanya.
Sementara itu, ibu Mohd Sazwan, Sharifah Abdul Hamid, 49, menyifatkan anak kedua daripada lima beradik itu seorang yang baik dan tidak pernah menyusahkan keluarga.
Beliau berkata kali terakhir mereka berjumpa ialah pada Aidilfitri lepas.
"Mohd Sazwan anak yang pendiam, dia jarang balik rumah tetapi kami sering berhubung melalui aplikasi WhatsApp.
"Saya dapat tahu mengenai kejadian yang menimpa Mohd Sazwan selepas solat Zohor tadi melalui panggilan telefon rakannya...terkejut dan tidak sangka namun saya reda dengan ketentuan Ilahi," katanya dalam nada sayu.
Jenazah Mohd Sazwan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Muda, Gombak, pagi esok manakala jenazah Muhammad dan Azrul Hisham pula dijangka dibawa pulang ke kampung halaman masing-masing di Melaka dan Johor. - Bernama
#Air Terjun Lubuk Jepun #Batu 16 Gombak #berpaut #mayat
;