Dua lubuk baharu kelah bakal beroperasi di Tasik Kenyir
Bernama
Julai 8, 2017 20:05 MYT
Julai 8, 2017 20:05 MYT
Dua lagi lubuk ikan kelah akan dibuka berdekatan Santuari Ikan Kelah, Sungai Petang Tasik Kenyir, Jun tahun depan bagi menampung kedatangan pelancong yang meningkat saban hari.
Timbalan Pengurus Besar (Operasi) Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa berkata dua lubuk itu iaitu Lubuk Kelah dan Lubuk Lampan yang terletak berdekatan pusat pemuliharaan dan rekreasi ikan kelah sedia ada di Lubuk Kejor.
"Dua lubuk yang diwujudkan ini bagi menampung permintaan pengunjung pada lubuk sedia ada (Lubuk Kejor) kerana pada ketika ini lubuk berkenaan kita hadkan hanya 100 pengunjung sehari.
"Dengan kewujudan dua lubuk baharu itu kita jangka Santuari Kelah ini mampu menerima 200 lagi pelawat setiap hari untuk ke sini," katanya kepada pemberita selepas program Kenali Kenyir 01 Bersama Media Terengganu di Tasik Kenyir di sini, baru-baru ini.
Turut hadir Pengurus Promosi dan Korporat, Bahagian Pelancongan dan Pembangunan Tasik Kenyir, Ketengah, Ahmad Fathil Abd. Ghani.
Tengku Ahmad berkata tumpuan Ketengah ketika ini adalah pada kerja-kerja menjinakkan ikan kelah di lokasi yang telah dikenal pasti itu yang meliputi rutin memberi makan kepada hidupan air berkenaan bagi menyesuaikannya dengan kehadiran manusia.?
Katanya santuari kelah ini dibuka bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari dan pengunjung terpaksa mengharungi laluan kira-kira 1.7 Kilometer untuk sampai ke santuari itu menggunakan 'houseboat' atau bot laju.
Setiap pengunjung akan dikenakan bayaran sebanyak RM10 seorang.
Santuari Kelah yang terletak kira-kira 21 kilometer dari Jeti Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir dibangunkan dan diselia oleh Ketengah selaras usaha pemuliharaan spesies ikan kelah yang semakin terancam selain mempromosi aktiviti rekreasi sebagai galakan tarikan pelancongan di Tasik Kenyir.
Sementara itu pengunjung juga boleh menikmati ikan kelah yang diternak di sangkar selepas pos kawalan baharu di santuari itu siap pada penghujung tahun ini.
Beliau berkata ikan kelah merah yang hidup boleh mencecah ribuan ringgit satu kilogram manakala ikan kelah kejor berharga sekitar RM 200 ke atas (sekilogram).
-- BERNAMA