Dua lemas dalam kejadian berasingan di Kulim
Adie Sufian Zulkefli
Julai 3, 2023 22:30 MYT
Julai 3, 2023 22:30 MYT
ALOR SETAR: Seorang remaja lelaki lemas ketika menyelamatkan rakannya yang tergelincir di Lata Arus Deras, Lubuk Buluh, Sungai Sedim, di sini pada Isnin.
Mangsa berusia 18 tahun itu ditemui lemas dalam sungai berkenaan pada jam 2.20 petang selepas menyelamatkan rakannya yang tergelincir jatuh ke dalam sungai.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, mangsa yang berasal dari Taman Mutiara, Karangan pergi ke Pusat Rekreasi itu bersama tiga lagi rakannya untuk mandi kira-kira jam 12 tengah hari.
“Hasil siasatan ke atas rakan mangsa memberitahu, setibanya di kawasan itu, mangsa bersama rakan-rakannya mendapati ramai orang sedang mandi-manda.
“Kemudian mereka telah pergi ke kawasan Sungai Lubuk Buluh dan kawasan tersebut mempunyai arus yang sangat deras.
“Ketika mandi, salah seorang rakan mangsa telah tergelincir dan mangsa cuba menyelamatkan rakannya tetapi mangsa turut lemas dibawa arus deras,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Mohd Redzuan berkata, orang ramai yang berada di kawasan itu berjaya menarik rakan mangsa ke tebing namun mangsa gagal diselamatkan.
Katanya, mangsa ditemui di dasar sungai dan berjaya dinaikkan ke atas permukaan dan telah meninggal dunia.
Sementara itu dalam kejadian berasingan, seorang lelaki berusia 24 tahun ditemukan lemas ketika sedang mandi di Pusat Rekreasi Air Puteh, Junjong.
Mohd Redzuan berkata, mangsa tiba ke pusat peranginan itu bersama rakannya pada jam 2.10 petang.
"Mangsa lemas ketika mandi dan rakannya cuba menyelamat mangsa namun gagal.
“Mayat mangsa ditemui orang ramai yang membantu mencari mangsa yang tenggelam,” ujarnya lagi.
Menurut Mohd Redzuan mayat kedua-dua mangsa yang lemas itu kemudian di hantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.