Dua lemas dalam insiden bot terbalik di Tanjung Dawai

Bernama
Oktober 30, 2016 12:24 MYT
Dalam kejadian kira-kira 10.38 pagi, bot yang membawa 12 penumpang itu dipercayai terbalik selepas mengalami kerosakan enjin. - Foto JBPM
Dua mati lemas manakala 11 lagi ditemui selamat selepas sebuah bot yang membawa penumpang dari Tanjung Dawai ke Pantai Merdeka, Kuala Muda di sini, terbalik.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Nur Hafizah Mohammad Lokman berkata dalam kejadian pukul 10.38 pagi, bot yang membawa 12 penumpang serta seorang tekong itu dipercayai terbalik selepas terlanggar tali sauh sebuah bot pukat tunda.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan pada 10.38 pagi dan tiba di lokasi 30 minit kemudian.
"Bot yang membawa penumpang tempatan itu terbalik selepas melanggar tali sauh bot pukat tunda. Mayat seorang lelaki dan perempuan masing-masing berumur 19 dan 34 tahun telah diserahkan kepada polis," katanya.
Nur Hafizah berkata semua penumpang diselamatkan oleh bot penumpang lain yang berada di kawasan kejadian.
Dua daripada mereka dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, empat orang dibawa ke Pantai Merdeka manakala lima lagi ke Tanjung Dawai.
#Alor Setar #kuala muda #lemas #Pantai Merdeka #Tanjung Dawai
;