Dua lelaki warga asing maut terperosok bawah lori tangki
Sinar Harian
Mac 11, 2024 13:50 MYT
Mac 11, 2024 13:50 MYT
HULU SELANGOR: Dua lelaki warga asing maut dalam kemalangan tiga kenderaan di jalan Bukit Beruntung menghala Bukit Sentosa, di sini pada Ahad.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Penguasa Kanan Bomba I, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu, pada jam 10.10 malam.
"Seramai tujuh anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Menurut laporan awal, nahas membabitkan sebuah lori tangki, Hyundai Accent yang rosak di tepi jalan dan motosikal Demak EX90," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Ahmad Mukhlis berkata, kedua-dua mangsa berusia 40-an yang menaiki motosikal disyaki dalam perjalanan dari Bukit Beruntung ke MK Land.
"Akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa terperosok di bawah lori tangki dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.
"Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya. - Sinar Harian