Dua lelaki tempatan ditahan bersama dadah bernilai RM6,400

Muhammad Aiman Hakeem
Januari 14, 2022 12:22 MYT
Polis menahan dua lelaki tempatan bersama sejumlah dadah pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM6,400 menerusi dua operasi khas yang dilancarkan di sekitar Johor Bahru, kira-kira 7 malam Khamis. - Foto ihsan PDRM
JOHOR BAHRU: Polis menahan dua lelaki tempatan bersama sejumlah dadah pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM 6,400 menerusi dua operasi khas yang dilancarkan di sekitar daerah ini, kira-kira 7 malam Khamis.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor, Superintendan R. Azizan Ibrahim berkata kedua-dua suspek berumur 24 dan 44 tahun itu turut didapati positif dadah jenis metaphetamine dan amphetamine menerusi ujian saringan air kencing.
"Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen IPK (IPK) Johor telah melancarkan dua operasi khas di sekitar kawasan Johor Bahru kira-kira 7.00 malam, semalam.
"Dalam serbuan itu, dua lelaki tempatan ditahan bersama sejumlah dadah yang dianggarkan bernilai RM6,400.
"Dadah yang dirampas terdiri daripada syabu (57.65 gram), ganja (8.65 gram) dan pil ecstacy (12 biji) dan boleh digunakan oleh seramai 308 orang penagih," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.
Jelasnya, pemeriksaan turut mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah selain salah seorang daripada suspek merupakan individu dikehendaki polis,
"Serbuan turut menemukan sebuah kereta yang mempunyai rekod hilang di Melaka sejak tahun lalu.
"Kegiatan itu disyaki telah beroperasi sejak awal tahun 2021 melibatkan modus operandi dengan menyewa rumah di kawasan komuniti berpagar dan berkawal sebagai tempat penyimpanan dadah
"Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 20 Januari depan bagi membantu siasatan," katanya lagi.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup beserta sebatan.
#Dadah #lelaki tempatan ditahan #operasi khas #JSJN Johor