Dua lelaki rugi RM3 juta ditipu pelaburan kripto, saham
Bernama
Julai 10, 2023 06:00 MYT
Julai 10, 2023 06:00 MYT
SHAH ALAM: Dua lelaki berputih mata selepas menjadi mangsa penipuan dalam talian melibatkan pelaburan mata wang kripto dan saham berjumlah RM3,147,714 pada Februari dan Mei lepas.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, bagi kes pertama, mangsa merupakan seorang doktor pakar telah ditipu menerusi pelaburan mata wang kripto melibatkan kerugian lebih RM2 juta pada Februari.
Hussein berkata, mangsa berusia 57 tahun itu berkenalan dengan seorang lelaki dikenali sebagai 'Profesor Kim So Young' yang kononnya merupakan warga Korea menerusi aplikasi LinkedIn pada bulan yang sama.
Beliau berkata, suspek menawarkan lelaki itu menyertai pelaburan dikenali 'Trading Crpytocurrency' dan mangsa telah mendaftar serta membuka akaun perdagangan di laman web https://www.ixtik.rest.
"Mangsa kemudiannya melakukan pemindahan wang dalam talian sebanyak 55 kali ke 37 akaun bank berbeza, yang diberikan oleh suspek bagi tujuan membeli mata wang USD untuk ditukarkan dalam bentuk mata wang kripto dengan wang berjumlah kira-kira RM2.097 juta.
"Doktor pakar itu membuat laporan polis di Ampang Jaya setelah akaun pelaburan tersebut tidak dapat diakses dan suspek tidak lagi dapat dihubungi," katanya menerusi kenyataan.
Bagi kes kedua, Hussein berkata, seorang pesara jurutera syarikat swasta turut ditipu menerusi pelaburan saham setelah berkenalan dengan seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai 'Anna' menerusi aplikasi LinkedIn sekitar Mei.
"Mangsa ditawarkan menyertai pelaburan saham dan dibawa masuk ke dalam kumpulan WhatsApp '1 Year 10 Times Wealth Club' sebelum diminta memuat turun aplikasi 'PSLUS' untuk membuka akaun pelaburan serta membuat bayaran deposit.
"Mangsa yang telah membuat bayaran deposit melibatkan 19 transaksi berjumlah RM1.052 juta menerusi lapan akaun bank berbeza sejak 15 Jun hingga 2 Julai lepas, menyedari ditipu apabila pihak khidmat pelanggan tidak tidak lagi menjawab pesanannya lalu membuat laporan polis di Sepang," katanya.
Susulan itu, Hussein menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan iklan pelaburan mata wang kripto, saham atau apa jenis pelaburan ditawarkan dalam talian terutama menerusi media sosial yang kononnya menawarkan keuntungan besar dalam masa singkat.
"Orang ramai diingatkan membuat semakan di laman web Bank Negara Malaysia bagi menentukan sama ada sesuatu syarikat pelaburan tersebut berdaftar atau tidak sebelum membuat pelaburan," katanya.
- BERNAMA