Dua lelaki penyeludup ketum direman

Adie Sufian Zulkefli
Februari 23, 2023 14:59 MYT
Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Jitra dengan menaiki kereta Proton Persona polis bagi mendapatkan perintah tahanan reman. - Astro AWANI
JITRA: Dua lelaki direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan cubaan melarikan diri daripada ditahan angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika cuba menyeludup daun ketum di Kampung Sungai Kecil, Kuala Nerang dekat Padang Terap pada Rabu.
Perintah tahanan dikeluarkan Majistret, Nurul Huda Idris di dua lokasi berbeza, iaitu di Mahkamah Jitra dan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sehingga 26 Febuari.
Terdahulu, suspek berusia 29 tahun dibawa ke Mahkamah Majistret Jitra dengan menaiki kereta Proton Persona polis bagi mendapatkan perintah tahanan reman tersebut.
Suspek berusia 28 tahun itu memakai baju lokap berwarna jingga dibawa keluar bersama tahanan lain tidak lama kemudian setelah perintah tahanan reman dikeluarkan terhadapnya.
Sementara itu, seorang lagi suspek yang berusia 31 tahun, perintah tahanan reman terhadapnya terpaksa dikeluarkan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar kerana masih menerima rawatan akibat cedera ketika kereta dinaiki terbabas.
Dalam kejadian pada jam 12.30 tengah hari, dua lelaki itu ditahan setelah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dinaiki mereka, terbabas ketika dikejar sepasukan pegawai dan anggota tentera.
Menurut Ketua Polis Padang Terap, Deputi Superintenden Mulkiaman Manzar, kenderaan dengan nombor pendaftaran Thailand itu pada mulanya cuba menghimpit motosikal tentera ketika dikejar.
Pacuan empat roda tersebut juga katanya hampir melanggar kenderaan awam menyebabkan pegawai tentera yang membonceng motosikal, telah melepaskan beberapa das tembakan dan menyebabkan kenderaan itu terbabas ke bahu kanan jalan.
Pemeriksaan dibuat terhadap kenderaan pacuan empat roda itu menemukan beberapa lagi bungkusan disyaki berisi daun ketum yang berat keseluruhan mencecah 1 tan dan bernilai kira-kira RM38,000.
Kes tersebut kini disiasat di bawah kanun keseksaan dan Akta Racun 1952.
#seludup ketum #lelaki direman #kenderaan terbabas #polis #tentera
;