Dua lelaki parah ditetak pedang samurai dalam kejadian samun di rumah

Vivi Sumanti
Mei 17, 2020 17:37 MYT
Tiga daripada suspek bertindak menetak mangsa pertama berkali-kali di bahagian kepala.
Dua lelaki ditetak dalam kejadian samun melibatkan barang kemas di Kampung Air Tawar, Tok Bali, di sini pada Sabtu.
Kejadian berlaku jam 10 malam tadi apabila lima penjenayah bersenjatakan tiga pedang samurai memecah masuk rumah milik peniaga ikan kering, Che Minah Che Muda, 56 dan suami, Syed Akhbar Mukaddim Shah, 32.
Tiga daripadanya bertindak menetak Syed Akhbar berkali-kali di bahagian kepala manakala dua lagi memegang dan merentap barang kemas yang dipakai Che Minah.
Mereka berjaya melarikan dua utas gelang tangan dan sebentuk cincin yang dianggarkan berharga lebih RM70,000.
Che Minah berkata, ketika kejadian dia dan suami sedang bersiap untuk makan malam sebelum lima penjenayah itu menerkam masuk ke dalam rumah mereka.
"Tiga penyamun itu terus menetak kepala suami berkali-kali depan mata saya dan dua lagi memegang saya dan menanggalkan barangan kemas yang dipakai," katanya.
Katanya, dia sempat menjerit meminta tolong dan jeritannya didengari anak lelakinya, Suhaimi Mohamed, 33 yang tinggal berdekatan rumahnya.
"Bila anak sampai depan rumah, tiga lelaki itu serang pula anak saya dengan menetak kepalanya juga berkali-kali," katanya.
Selepas menyerang Suhaini, lima lelaki itu terus melarikan diri melalui pintu dapur yang mereka masuk.
Akhbar dan Suhaimi masing-masing menerima berbelas jahitan di kepala selepas mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, mangsa sudah membuat laporan polis di Balai Polis Cherang Ruku, jam 1 pagi tadi
Katanya, pihak polis sedang memburu suspek yang terlibat dalam kejadian.
#barang kemas #Che Minah Che Muda #Hospital Tengku Anis #Kampung Air Tawar #pedang samurai #penyamun #samun #Suhaimi Mohamed #Syed Akhbar Mukaddim Shah #Tetak #Tok Bali
;