Dua lelaki menyamar anggota SPRM ditahan di Pasir Mas

Bernama
November 18, 2024 19:09 MYT
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini, berhubung penahanan dua suspek yang terlibat kes penyamaran sebagai anggota SPRM. - Foto BERNAMA
KOTA BHARU: Polis menahan dua lelaki dipercayai menyamar sebagai anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sekitar Pasir Mas, semalam.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata masing-masing yang berusia 25 dan 31 tahun ditahan secara berasingan pada 11 pagi dan 9 malam tadi oleh sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am menerusi Operasi Taring Wawasan.
"Hasil soal siasat, polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Kasa, Pasir Mas dan menemukan pelbagai peralatan dan barangan berkaitan SPRM.
"Polis merampas antaranya sepucuk pistol berisi lapan butir peluru, gari dan kad kuasa SPRM disyaki palsu dalam kenderaan pacuan empat roda dinaiki suspek," katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.
Beliau berkata polis turut menemukan lencana dan lambang SPRM pelbagai saiz, baju berlambang SPRM yang dipercayai digunakan untuk penyamaran anggota badan pencegah rasuah itu.
Mohd Yusoff berkata berdasarkan siasatan, suspek kedua dipercayai rakan subahat kepada suspek pertama.
"Hasil siasatan juga mendapati suspek pertama mengaku telah memiliki barangan berkaitan SPRM sejak tiga tahun lepas dan membelinya secara dalam talian.
"Kami percaya suspek membelinya untuk tujuan penyamaran dan siasatan juga sedang dibuat bagi mengetahui tujuan suspek menyamar sebagai anggota SPRM," katanya.
Beliau berkata kedua-duanya yang tidak memiliki rekod jenayah lampau dan negatif terhadap dadah kini direman seminggu bermula hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti lebih Berat) 1971, Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
#polis tahan #lelaki menyamar SPRM #Polis Kelantan #Pasir Mas
;