Dua lelaki maut, kereta terbabas dalam parit di Meru Raya
Aida Aziz
Januari 7, 2023 08:15 MYT
Januari 7, 2023 08:15 MYT
IPOH: Dua lelaki maut setelah kereta jenis Honda Accord yang dinaiki mereka terbabas ke dalam parit berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya, di sini, awal pagi ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, kedua-dua mangsa itu didapati tersepit dan disahkan maut oleh pegawai perubatan hospital.
Laporan awal pihak bomba mendapati, difahamkan mangsa yang maut dikenali sebagai R. Dhaarnish, 29 tahun, dan seorang lagi masih belum dikenal pasti identitinya.
Katanya, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.19 pagi, sebelum anggota dari BBP Meru Raya digerakkan ke lokasi.
"Terdapat sebuah kereta jenis Honda Accord telah terbabas ke dalam parit dekat dengan BBP Meru Raya.
"Kedua-dua mangsa disahkan maut oleh petugas perubatan dan mangsa akan diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan susulan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi tersebut diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Kosaidi Mohd Saad.