Dua lelaki maut, kereta rempuh treler di Lebuhraya Utara Selatan

Abd Razak Mohd Ali
Februari 15, 2022 11:59 MYT
Pelanggaran mengakibatkan kenderaan yang dipandu terperosok masuk dan melekat di treler. - Foto ihsan PDRM
SLIM RIVER: Dua lelaki maut apabila kereta yang mereka naiki merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 362.8 Lebuhraya Utara - Selatan arah utara, dekat sini, pagi ini.
Dalam nahas kira-kira jam 5.30 pagi itu, pemandu Jeya Varma Yathal, 33, dan penumpang yang dikenali sebagai Kartikeyan, 27 disahkan maut di lokasi kejadian.
Pemandu dan kelindan treler bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, siasatan awal mendapati semasa pemandu treler, seorang lelaki berumur 47 tahun memandu dari arah Rawang menuju ke Teluk Intan, telah dilanggar oleh pemandu kereta Proton Waja dari arah belakang.
“Pelanggaran mengakibatkan kenderaan yang dipandu terperosok masuk dan melekat di treler dan telah menyebabkan pemandu serta penumpang tersepit dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Slim River dan bedah siasat akan dijalankan setelah ujian COVID-19 selesai dijalankan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#Lebuhraya Utara-Selatan #Nahas #treler #maut
;