Dua lelaki Indonesia dipenjara 12 bulan curi wang zakat
Adie Sufian Zulkefli
April 19, 2023 17:55 MYT
April 19, 2023 17:55 MYT
KANGAR: Dua lelaki warga Indonesia terpaksa menjalani hukuman penjara 12 bulan kerana gagal membayar denda RM10,000 selepas disabitkan kesalahan mencuri wang zakat peruntukan asnaf berjumlah RM22,000 dalam sebuah pacuan empat roda 5 April lalu.
Terdahulu, Gunawan Ibrahim, 42 dan Risky Saputra, 37, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dan fakta kes dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor.
Mengikut pertuduhan, mereka mencuri wang sebanyak RM22,000 milik Edrus Hasan yang diletakkan dalam Toyota Hilux di hadapan Pasar Rya DIY di Kangar Jaya, jam 11.25 pagi pada 5 April lalu.
Berikutan itu, kedua-dua tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama.
Jika sabit kesalahan, kedua-dua mereka boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Tengku Ruqayyah Tengku Shahrom manakala tertuduh diwakili peguam Zamani Mokhtar.
Terdahulu, Zamani memohon mahkamah mempertimbangkan satu hukuman berbentuk denda paling ringan kepada kedua-dua anak guamnya itu memandangkan tindakan tertuduh yang mengaku bersalah menjimatkan masa dan kos mahkamah.
Selain itu juga, Zamani juga meminta mahkamah mempertimbangkan kedua-dua anak guamnya yang masih mempunyai tanggungan isteri dan anak kecil di Indonesia.
Tertuduh juga baru 10 hari berada di negara ini ketika ditangkap dan tidak ada sebarang rekod jenayah sebelum ini.
Malah, Zamani berkata anak guamnya itu sudah insaf, menyesal dan bertaubat atas perbuatan yang dilakukan.
Dalam masa yang sama juga, Tengku Ruqayyah dalam hujahannya pula memohon mahkamah memberikan satu hukuman setimpal atas kesalahan yang dilakukan tertuduh.
Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh masing-masing didenda RM10,000 dan gagal membayar denda boleh dipenjarakan selama 12 bulan.
Tertuduh bagaimanapun gagal membayar denda menyebabkan mereka dihantar ke Pusat Koreksional Perlis bagi menjalani hukuman penjara.