Dua lelaki geng pecah rumah, curi motosikal ditahan
Bernama
Mac 3, 2018 13:44 MYT
Mac 3, 2018 13:44 MYT
Polis menahan dua lelaki anggota geng pecah rumah dan curi motosikal dalam serbuan di sebuah rumah flat di Taman Sembilang, Seberang Jaya di sini, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, bertindak hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis menyerbu rumah sewa itu kira-kira jam 11 malam dan menahan dua lelaki berumur 31 serta 38 tahun berkenaan.
"Hasil pemeriksaan polis merampas pelbagai barangan dipercayai hasil pecah rumah antaranya komputer riba pelbagai jenama, telefon bimbit, tablet, peralatan elektrik dan dua buah motosikal yang dilaporkan hilang sebelum ini," katanya di sini, hari ini.
Katanya, polis juga merampas sejumlah dadah jenis heroin, ganja dan syabu bernilai lebih RM1,000 bersama mereka dipercayai dijual dua lelaki terbabit dan mereka dipercayai terlibat dalam kegiatan itu sejak beberapa bulan lepas.
Dalam perkembangan lain, Nik Ros Azhan berkata, polis menahan dua pasang kekasih berumur 20 hingga 23 tahun dipercayai anggota geng curi kenderaan dalam satu sekatan jalan raya di Alma, di sini pada 12.30 tengah malam Khamis.
"Polis yang sedang membuat sekatan jalan raya di situ menahan kereta jenis Honda Civic dinaiki empat individu berkenaan selepas berada dalam keadaan mencurigakan dan pemeriksaan awal mendapati kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran palsu," katanya.
Beliau berkata, semakan nombor casis mendapati kereta itu dilaporkan hilang di Perai baru-baru ini dan mereka mengaku terlibat dalam kegiatan mencuri kenderaan di sekitar negeri ini sejak tahun lepas.
"Polis juga sedang mengesan beberapa lagi anggota geng berkenaan untuk siasatan lanjut," katanya.
-- BERNAMA